E-PUISI: PEMBANGUNAN DAN CABARAN

E-PUISI: PEMBANGUNAN DAN CABARAN

Oleh:

  1. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas1, Madiawati Mustaffa2, dan Mohd Hafizie bin Samat3

1Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur; Pengasas portal E-Sastera.com; dan Presiden, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA)

2Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

3Ketua, Grup E-Sastera Universiti Malaya (GESUM)

  1. PENGENALAN

Kegiatan berpuisi di alam siber telah berlaku di seluruh dunia untuk sekian lama, terutamanya dalam genre puisi.Laman paling popular sehingga ke hari ini barangkali ialah Poetry.com(berbahasa Inggeris). Kegiatan sedemikian diformalkan secara serius dalam bahasa Melayu di Malaysia apabila terbitnya portal sastera awam, iaitu eSastera.com (kini E-Sastera.com) yang diusahakan melalui syarikat Esastera Enterprise (mulanya KAPAS Enterprise). Malah portal sastera ini, pada mulanya, hanya menyediakan kemudahan untuk pelayar menerbitkan karya daripada genre sajak dan sajak jenaka (sajen) sahaja.

 

  1. KARYA SIBER DAN E-PUISI

Medium utama untuk menyiarkan e-puisi ialah internet. Internet memungkinkan pembangunan portal berupa laman sastera yang dapat dijadikan pusat untuk semua pengkarya menunjukkan bakat mereka di alam siber. Tanpa internet, dunia sastera siber, seperti laman e-puisi, tidak dapat dibangunkan.

E-puisi merupakan puisi era teknologi yang turut dikenali sebagai puisi siber ataupun puisi elektronik. Seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi, misalnya penggunaan internet, perkembangan puisi yang dahulunya dari tradisi lisan, ke tulisan (cetakan kertas biasa atau secara cetakan konvensional), dan akhirnya dipindahkan ke laman internet. Karya e-puisi tidaklah diterbitkan dalam laman internet hanya berdasarkan tulisan hitam berlatarbelakangkan warna putih semata-mata, malah lebih daripada itu, merupakan gabungan pelbagai unsur multimedia seperti teks, audio, video, animasi, grafik, dan hiperlink yang tertentu untuk menyampaikan pemikiran dan emosi penyair. Dengan penggunaan unsur multimedia, puisi tersebut berbeza dengan puisi cetakan konvensional. Puisi sebegini hanya dapat diapresiasi sepenuhnya di internet sahaja, malah ada yang tidak dapat diapresiasi langsung tanpa menggunakan medium internet. Selain itu, sering dikatakan bahawa, sekiranya sesebuah karya di internet itu dapat diterbitkan sepenuhnya ke bentuk cetakan konvensional, maka besar kemungkinannya bahawa karya itu bukannya e-karya yang sebenar.

Keistimewaan e-puisi berbanding dengan puisi konvensional terlihat melalui penggunaan kecanggihan teknologi itu sendiri. Manfaat daripada kemudahan teknologi, misalnya internet, menjadikan pengkarya atau pembaca mudah untuk berkarya dan membaca karya tersebut walau di mana mereka berada. Misalnya, jika pengkarya berada jauh di hujung dunia sekalipun, dia dapat meneliti karya hanya dengan membuka laman internet, termasuk menggunakan sebuah telefon bimbit pintar.

Di samping teks puisinya yang menarik, terdapat pula ciri-ciri estetika lain yang dapat dihayati melalui penggunaan unsur multimedia, misalnya imej yang diselitkan bersama puisi tersebut disertai dengan iringan muzik yang mendamaikan dan menenangkan jiwa. Oleh itu, pembaca tidak mudah berasa bosan, sebaliknya seronok untuk menghayati sesebuah karya tersebut.

Keistimewaan lain e-puisi ialah karya puisi yang disiarkan itu dapat disiarkan dengan cepat dan mudah, tidak perlu menunggu lama untuk dicetak dahulu seperti puisi cetakan konvensional. Para pengkarya dapat menerbitkan sendiri karya puisi mereka tanpa perlu diedit oleh orang lain serta puisi mereka dapat dibaca oleh semua orang di seluruh dunia asalkan mempunyai kemudahan internet.

Penerbitan pusi di internet juga sering memanfaatkan ciri interaktiviti di medium internet itu sendiri. Puisi yang diterbitkan dapat dikomen pembaca dengan dengan cepat. Hal ini dapat menimbulkan semangat penulis dalam membaiki ciptaannya pada masa akan datang berdasarkan komen atau kritikan membina yang diberikan oleh pembaca karya e-puisi di laman siber. Tradisi yang sedemikian tidak mungkin dapat diperkenalkan di medium penerbitan konvensional.

 

  1. CABARAN

Masalah yang berkaitan dengan aktiviti mengkomposisi dan menyiarkan e-puisi yang ketara ialah melibatkan kemudahan internet itu sendiri. Hal ini kerana tidak semua orang mempunyai kemudahan internet di rumah. Jika ada pun, mungkin melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi. Jika ada yang percuma sekalipun, mungkin menghadapi masalah internet yang lembab. Keadaan seperti ini menjadikan pengkarya yang ingin menerbitkan karya di laman tersebut tidak bersemangat dan kurang keyakinan bukan kerana takut berkongsi tetapi takut terjadinya apa-apa masalah yang tidak dijangka, lebih-lebih lagi bagi pengkarya yang baru. Masalah ini menyebabkan mereka suka menghasilkan karya berdasarkan cetakan konvensional sahaja walaupun mengambil masa yang lama untuk diterbitkan. Selain itu, tidak semua orang mempunyai pengetahuan asas tentang internet serta kemahiran untuk memasukkan unsur-unsur multimedia ke dalam karya mereka. Sehubungan itu, kekurangan pengetahuan tentang hal-hal berkaitan penyiaran unsur-unsur siber dan multimedia menyebabkan pengkarya kurang senang dengan aktiviti mengkomposisi dan menyiarkan e-puisi yang dianggap leceh, padahal jika mengetahuinya, pasti menjadi sesuatu yang paling senang berbanding dengan puisi cetakan konvensional.

E-puisi dapat meningkatkan lagi perkembangan dunia sastera di negara kita, malah juga di seluruh dunia. Dengan bertambahnya laman internet berkaitan dengan sastera, ramai pengkarya atau peminat sastera akan suka dan tertarik untuk menceburkan diri dalam dunia sastera dengan lebih serius. Mereka akan diperkenalkan dengan ciptaan puisi yang baru berbeza dengan puisi cetakan konvensional yang sebelumnya. Dengan wujudnya e-puisi, dunia sastera semakin berkembang dengan penciptaan baru. Lebih banyak pengkarya di alam siber akan menonjolkan diri dengan menerbit dan menghantar karya mereka. Akhirnya, pengkarya tersebut akan menjadi pemuisi terkenal.

Kegiatan e-puisi dapat dikembangkan lagi di Malaysia dengan membangunkan lebih banyak laman internet yang berkaitan. Dengan wujudnya lebih banyak laman internet berkaitan dengan sastera, maka seluruh peminat sastera atau pengkarya dapat melihat sendiri fungsi laman tersebut, khususnya dalam mengembangkan penciptaan e-puisi. Dengan itu, e-puisi dapat direalisasikan bukan hanya sekadar cakap kosong sahaja berdasarkan penggunaan teori semata-mata. Dengan wujudnya laman sastera, semua orang yang berminat dan mampu berkarya dapat praktikkan penulisan e-puisi dengan mudah. Selain itu, kegiatan pengenalan atau promosi perlu diwujudkan di seluruh Malaysia. Tumpuan utamanya haruslah berpusatkan kepada organisasi atau institusi tertentu yang mempunyai kaitan dengan sastera. Dengan ini, e-puisi dapat diperluaskan lagi ke seluruh Malaysia disebabkan penggunanya yang semakin ramai dan memberangsangkan. Di samping itu, kursus-kursus berkaitan dengan e-puisi atau sastera siber perlu diperkenalkan. Misalnya seperti kursus E-Sastera di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu sendiri perlu diteruskan lagi pada masa akan datang bukan hanya melibatkan sarjana Pengajian Melayu, malah seluruh fakulti dan peringkat pengajian di semua IPTA/IPTS.

Pada hari ini, ramai juga penulis yang menyiarkan karya e-puisi mereka di laman web masing-masing. Hal ini tidak dapat menghasilkan koleksi karya yang berintegriti daripada segi kemantapan kandungan penerbitan itu. Pengkarya dapat mengedit mahupun memadam karyanya. Malah ada pengkarya yang mengedit mahupun memadam komen orang lain terhadap karyanya itu. Kita harus menggalakkan penulis menyiarkan karya masing-masing di portal sastera awam yang menjamin kemantapan kandungan. Misalnya, portal E-Sastera.com hanya memberi masa 45 minit untuk pengkarya mengedit karya masing-masing dan tidak menyediakan fasiliti untuk pengkarya memadam karyanya. Di samping itu, portal tersebut juga menyediakan sistem penarafan lima bintang untuk pengurus (Administrator) memberikan tanggapannya terhadap karya. Pembaca juga dapat memberikan respons melalui butang SUKA, di samping penggunaan kotak komen yang biasa.

Cabaran terhadap e-puisi bukan sahaja pada kaedah penyiarannya. Pada peringkat karya itu sendiri, ada beberapa cabaran yang masih belum dapat diatasi dengan baik, antaranya seperti yang berikut:

  • Memasukkan unsur siber sebagai hiasan semata-mata: Unsur siber hendaklah dimasukkan dengan peranan istimewa dalam menegaskan peluahan pemikiran dan emosi.
  • Pengkarya mengkomposisi karyanya dengan menggunakan unsur-unsur siber yang bukan miliknya tetapi dipetik dari internet: Walaupun terdapat banyak unsur siber yang tidak mempunyai hak cipta dan boleh dipetik untuk mengkayakan karya kita, adalah lebih elok sekiranya semua unsur dalam karya itu adalah ciptaan dan milik pengkarya sendiri. Hal ini dapat dicapai dengan lebih mudah sekiranya pengkarya berkongsi karya, misalnya teks, imej, dan audio dicipta oleh pengkarya yang berlainan tetapi diintegrasikan dalam sebuah karya milik bersama (seperti sebuah lagu yang berlainan pencipta melodi, penulis lirik, dan penyanyinya).

Satu lagi cabaran yang harus disahut pada hari ini ialah penerbitan antologi e-puisi, misalnya dalam bentuk e-buku. Portal seperti e-Sastera.com, misalnya, menyediakan kemudahan untuk penulis menerbitkan e-antologi masing-masing namun belum ramai pengkarya yang mengambil peluang itu.

Pada hari ini, belum ramai ilmuan sastera yang serius mendalami karya di alam siber untuk mengkaji dengan mendalam ciri-ciri keistimewaan genre ini. Dengan ini, banyak peluang untuk para pengkaji sastera menerbitkan teori-teori sastera yang berkaitan dengan e-puisi.

  1. PENUTUP

Kemudahan internet sudah berada dalam masyarakat secara yang agak meluas dan terus berkembang, menembusi sempadan geografi, ekonomi, dan sosial. Tidak akan berundur.Tambahan pula, kemudahan ini amat mesra pengguna pada hari ini. Kegiatan menyiarkan puisi di alam siber juga sedang berlaku dengan secara pesat. Pengkarya juga memasukkan inovasi baru yang memanfaatkan teknologi berkaitan. Kita harus bersama ke hadapan dalam membangunkan puisi berbahasa Melayu yang seiring dengan perkembangan teknologi hari ini agar puisi kita dapat dimanfaatkan secara keseluruhannya, bukan lagi berkembang di peringkat tempatan malahan merentas dunia global. Inilah cara untuk maju pada hari ini. Kita juga harus menyedari bahawa pengkarya alam siber beroperasi dalam dunia penerbitan yang berbeza dengan dunia penerbitan konvensional, dengan hukum-hukum alamnya yang tersendiri. Kita perlu memberhentikan tabiat membanding-bandingkan karya konvensional dengan e-karya kerana kedua-dua genre tersebut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

 

APENDIKS: Dua Karya Pilihan dari E-Sastera.com

 

  • Sajak “Angin, Ombak, dan Pantai” karya Azmi Rahman

Sajak bertajuk “Angin, Ombak, dan Pantai” menarik kerana disertai imej-imej yang sangat menarik.Imei-imej mempunyai peranan tersendiri.Imej angin, ombak, dan pantai itu tidaklah kaku sebaliknya bergerak-gerak memenuhi ciri elemen multimedia. Pembaca akan tertarik untuk menghayati sajak itu disebabkan adanya imej yang menarik sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan dalam sajak tersebut. Hal ini menjadikan sajak yang dihasilkan itu tampak lebih ‘hidup’.Bagi menambah lagi keindahan pada sajak tersebut, pengkarya perlu menambahkan audio atau muzik bagi membolehkan pembaca lebih menghayati dan menikmati karya itu.

 

  • Sajak “Gelap” karya Irwan Abu Bakar

Sajak ini berbeza dengan sajak biasa kerana, apabila dibuka, ia memaparkan suatu kotak persegi yang hitam dengan audio yang menyeramkan. Apabila “disuluh” (highlight), akan keluar teks yang dapat dibaca pelayar untuk mengikuti pemikiran dan emosi pengkarya. Di samping itu, karya ini menyertakan hiperlink di hujungnya untuk pembaca yang mahu membaca versi lucu bagi sajak ini.

 

 (Kertas kerja ini telah dibentangkan di program Hari Puisi Nasional XIX anjuran GAPENA di Pulau Pinang)

 

 

WAB/9.05.2013

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s