SASTERA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL

Wacana Kesusasteraan Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat
Kota Bharu, Kelantan, 6 Oktober 2013

SASTERA MELAYU DALAM MEDIA SOSIAL

Oleh:

  1. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas1 dan Madiawati Mustaffa2

1Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur; Pengasas portal E-Sastera.com; dan Presiden, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA)

2Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Sastera merupakan wadah penyampaian masyarakat yang tinggi dengan nilai estetika serta dapat dimanfaatkan oleh khalayak. Perkembangan sastera Melayu berubah mengikut zaman, iaitu dari tradisi lisan, ke tulisan, dan seterusnya dalam bentuk media baharu dengan kecanggihan teknologinya. Hal ini merupakan perkembangan yang positif kerana hasil kreativiti pengarang dapat disampaikan kepada khalayaknya dalam pelbagai variasi dan penyebarannya tanpa sempadan. Sesiapa dan di mana sahaja kita dapat mengakses hasil sastera sama ada menikmatinya atau berkarya melalui media baharu. Salah satu platform yang paling popular ialah platform media sosial yang diminati ramai kerana sifatnya yang mudah untuk menyampaikan serta berinteraksi terhadap maklumat yang dikemukakan. Sehubung dengan hal itu, bidang sastera juga tidak terlepas menerima tempias ledakan teknologi maklumat ini. Media sosial juga dijadikan salah satu aktiviti untuk menyalurkan maklumat berkenaan dengan karya sastera.

 

BLOG DAN VLOG

Kegiatan media sosial terawal muncul dalam bentuk “blog” (ringkasan untuk weblog). Kegiatan memblog (menulis blog) amat popular sekitar tahun 2000. Beberapa templat laman blog awam juga telah menjadi begitu popular, misalnya blogspot.com dan wordpress.com. Beberapa nama individu dan kumpulan blogger telah menonjol pada masa itu. “Geng Jurnal” ialah salah sebuah kumpulan blogger yang popular pada masa itu.

            Vlog (Video-blog) mempunyai fungsi yang sama degnan blog tetapi menggunakan platform YouTube, dengan input berbentuk video sahaja (lihat di bawah). Vlog terus bertahan sehingga ke hari ini kerana kecanggihan sistem YouTube itu sendiri. Vlogger berbahasa Melayu paling popular barangkali ialah Mat Luthfi, yang memulakan kegiatan itu semasa dia seorang pelajar kejuruteraan di Australia. Ada juga pengkarya yang menjadi popular sebagai vlogger disebabkan kontroversi video yang dihasilkan, misalnya pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee.

 

FACEBOOK

Facebook merupakan antara media sosial yang popular yang awalnya berfungsi untuk menghubungkan seseorang individu dengan individu yang lain. Fungsi media sosial ini kemudiannya telah dipertingkatkan dengan penambahan ciri-ciri terbaharu dengan adanya ruangan sembang yang membolehkan pengguna mengemaskinikan status, menghantar mesej, dan memaparkan gambar atau video. Menurut Ritcher & Koch (2008), fungsi laman sosial adalah untuk mengurus identiti (identity management), mencari pakar (expert finding), menyedari konteks (context awareness), mengurus kenalan (contact management), dan bertukar-tukar maklumat (exchange of information).

Laman facebook yang biasa digunakan oleh bidang sastera terdiri daripada tiga bentuk, iaitu bentuk individu, laman pages, dan bentuk kumpulan (groups). Ketiga-tiga bentuk berkenaan mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri dalam memperkembangkan sastera Melayu di laman sesawang.

            Facebook yang berkonsepkan individu dan laman pages biasanya dimiliki oleh penulis sebagai platform untuk menghubungkan karya serta aktiviti mereka dengan peminat. Akaun facebook jenis individu hanya terhad kepada 5 ribu orang sahabat (friend) sahaja, berbeza dengan akaun pages yang membolehkan peminat menekan butang likes yang menjangkau jumlah yang lebih besar.

            Facebook yang berbentuk ini lebih merupakan interaksi antara penulis dengan peminat sahaja. Biasanya penulis akan mengemaskinikan aktiviti, karya terbaharu dan mengadakan resensi karya-karyanya. Selain itu juga, facebook jenis ini cenderung kepada aktiviti peribadi penulis sama ada dalam hal-hal berkaitan dengan karya sastera atau kehidupan peribadi mereka. Misalnya laman facebook pemuisi negara Zurinah Hassan, selain memuatkan karya-karya puisinya, beliau juga berkongsi aktiviti-aktiviti sasteranya sama ada di dalam mahupun luar negara.

            Antara penulis novel yang aktif berinteraksi dengan peminatnya adalah Ain Maisarah. Beliau membuka akaun pages facebook dengan nama AinMaisarah Novelis yang sehingga kini mencecah kira-kira 194,493 likes daripada peminatnya. Selain berkongsi aktiviti sasteranya, beliau juga berkongsi tips menulis karya kreatif bersama peminatnya. Interaksi antara penulis dan peminatnya dapat mewujudkan hubungan yang positif dalam menarik minat khalayak untuk mendekati karya sastera.

            Berbeza pula dengan laman facebook yang jenis kumpulan (group). Laman ini diwujudkan supaya pengkarya serta peminat sastera dapat berkarya serta bertukar-tukar pandangan berkenaan karya yang dimuat naik dalam group berkenaan. Genre puisi seperti pantun dan sajak banyak dimuat naik dalam group tersebut. Antara group sastera yang popular dengan karya puisi ialah Kopi Sastera, Penyair Malaysia, Indonesia, Brunei dan Patani, Lagu-Lagu Puisi Nusantara, Sastera dan Budaya, serta Sastera Melayu. Group ini bukan sahaja memaparkan karya puisi secara bertulis malahan juga terdapat puisi-puisi yang disertai dengan gambar, bunyi dan animasi yang sesuai bagi menarik perhatian serta memberi lebih kesan penghayatan kepada khalayak. Lebih menariknya karya-karya yang dimuat naik dalam medium laman sosial ini akan mendapat maklum balas yang cepat daripada khalayaknya. Walaupun kebanyakan groups Facebook melibatkan pelbagai genre puisi, ada juga yang menangani cerpen, misalnya Grup Himpunan Pencinta Cerpen dan Puisi (HPCP) Kakilangit. Di samping itu, ada juga yang menangani novel, misalnya Multimedia Fiction.

 

YOUTUBE

Youtube ialah platform milik Google, untuk memuatnaikkan video dan dikongsi bersama tontonannya. Kebanyakan video di dalamnya dimuatnaikkan oleh individu. Video boleh ditonton oleh sesiapa sahaja tanpa keperluan mendaftar, malah kemudahan disediakan oleh portal itu untuk memasukkan videonya ke mana-mana laman web lain. Pengguna berdaftar boleh memuatnaikkan seberapa banyak video yang dikehendaki.

 

TWITTER

Twitter dikenali sebagai media sosial mobil kerana digunakan bersama dengan peranti mobil (telefon bimbit). Ia merupakan satu lagi medium yang digunakan khalayak untuk berkarya dan berinteraksi. Twitter menawarkan perkhidmatan perangkaian sosial pada talian dan mikropemblogan yang memberi keupayaan kepada pengguna untuk membaca “tweets”, yang merupakan teks tidak lebih daripada 140 aksara. Pada hari ini, Twitter diterima secara meluas sebagai alat bekomunikasi dan juga berkarya, dengan syarat angka 140 akasra dipatuhi. Tweep (pengguna Twitter) Ajami Hashim telah membukukan 500 buah twit (kandungan atau mesej Twitter) yang disiarkannya (ditwitnya) di akaun Twitter peribadinya melalui hashtag #cerpentwitter.

 

RESPONS E-SASTERA

Kumpulan eSastera Malaysia telah bergiat dalam bidang sastera di internet sejak 2002. Dalam memajukan perkembangan sastera Melayu di internet, eSastera terus berpegang kepada dua falsafah yang berikut:

  • Bentuk persembahan karya hendaklah sesuai dengan medium/teknologi yang digunakan.
  • Kemantapan kandungan portal senantiasa diutamakan, dengan mengehadkan keupayaan pengguna untuk mengedit atau memadam karya yang telah disiarkan.

Dalam pembentangan ini, penulis akan memperincikan secara visual cara eSastera memberi respons dan memanfaatkan perkembangan teknologi tersebut, seperti yang berikut:

  • Mengemaskinikan portalnya e-sastera.com, terutamanya dengan memasukkan unsur “Dinding” (melibatkan penulisan blog dalam bentuk status atau nota dinding). Portal seperti ini mampu menyiarkan karya sastera berbentuk multi-media dan interaktif, termasuk dalam format flash dan video. Contoh bagi karya bukan-video ialah cerpen scifi “Rewang Minda” oleh Irwan Abu Bakar (tersiar di portal e-Sastera.com, seksyen Sastera Sains, kategori Cereka) dan novel “Penjelajah Mimpi” oleh Rosnidar Ain (yang dapat diakses di URL http://rumah.ws/penjelajahmimpi.exe).
  • Memodenkan sistem paparan karya dan memperkenalkan unsur interaktif (respons berbentuk komen) di televisyen webnya, eSastera.tv. Hal ini dilakukan dengan memanfaatkan video YouTube serta memberi keupayaan kepada pengguna untuk memuatnaikkan video masing-masing dan mengulas video-video yang tersiar di situ. Pada masa ini, tivi ini mempunyai 8 saluran, iaitu 1.Terkini, 2.Peristiwa, 3.E-Puisi, 4.Deklamasi, 5.Lagu Puisi, 6.Cereka (Cerpen, Drama, Filem, dan Novel), 7.Wawancara, dan 8.Vlog. Saluran 9 masih dirancang kandungannya. Saluran “Vlog” sengaja diperkenalkan demi mengembalikan kegemilangan kegiatan memblog dalam kalangan khalayak sastera.  
  • Memperkenalkan platform sastera twitter, @tSastera. Karya yang ditwit oleh penulis kepada @tSastera akan ditwit kepada follower @tSastera dengan menggunakan label @tSastera. Antara genre yanga ditangani oleh @tSastera termasuklah #tBerita, #tCerpen, #tPantun, #tSajak, dan #Sayembara. Contoh karya di @tSastera:

 

#tSajak DUKA RAYA. Takbir bergema, ingatan bergetar, ke waktu bersama. Yang sudah tiada. -Irwan Abu Bakar.

#tCERPEN UNDI. Dia pangkah kertas undi. Dilipat dan dimasuk ke peti. Siap tugas, bisiknya. Dipejamnya mata lalu ghaib. Grr… Pengundi hantu

RUJUKAN

Ajaminhashim, cerpentwitter, Petaling Jaya: Merpati Jingga, 2012. Cetakan kedua.

Ritcher, A. & Koch, M. (2008). Functions of Social Networking services. COOP’08: the 8th International.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s