Perlembagaan E-SASTERA

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

UNDANG-UNDANG BAGI

Persatuan Aktivis e-Sastera Malaysia (E-SASTERA)

(e-Sastera Activist Society, Malaysia)

 

FASAL 1    NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Aktivis
e-Sastera Malaysia (e-Sastera Activist Society, Malaysia) atau singkatannya (e-Sastera) dan selepas ini disebut ‘Pertubuhan’.

 

FASAL 2    TEMPAT URUSAN

 

Alamat dan tempat urusan Pertubuhan ialah 96, Jalan 7/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah 96, Jalan 7/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur.
Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

FASAL 3    BENDERA, LAMBANG, DAN LENCANA

                   Seperti di lampiran A.

 

 

FASAL 4    TUJUAN DAN OBJEKTIF

 

Pertubuhan ini ditubuhkan untuk:

 

  1. Menjadi wadah pergerakan penulis-penulis yang berkarya di alam siber

 

  1. Memajukan sastera Melayu melalui karya di internet;

 

  1. Menyebarluaskan sastera Melayu ke peringkat antarabangsa terutama sekali melalui medium internet;

 

  1. Memberi pengiktirafan kepada penulis dan karya siber melalui anugerah dan sebagainya.

 

  1. Untuk membangunkan karya dan penulis sastera Melayu yang berkualiti Hadiah Nobel.
  2. Untuk menerbitkan produk bermutu dalam bentuk konvensional daripada karya-karya di internet.
  3. Untuk menjana pendapatan bagi mempromosi karya dan penulis esastera.com ke peringkat nasional dan internasional.
  4. Untuk menjadi wadah berkarya, bertemu, dan berinteraksi bagi penulis dari semua generasi, profesi, dan lokasi.
  5. Untuk menjadi media penerbitan yang berwibawa dan bertaraf dunia.
  6. Untuk menjadi lama web yang popular di kalangan pengguna internet dan menarik mereka daripada melawat laman-laman yang tidak bermanfaat atau merosakkan.
  7. Untuk menjadi ruang pendidikan bagi penulis baru.
  8. Untuk menerbitkan di internet karya terjemahan bagi karya sastera berbahasa Melayu.

Pertubuhan ini berusaha untuk mencapai objektif-objektif di atas serta mahu menjadi agen utama dalam memperkasa dan mengantarabangsakan sastera Melayu di internet, selain membangunkan karya dan penulis bertaraf Hadiah Nobel.

 

 FASAL 5    KEAHLIAN

  • Ahli-ahli Pertubuhan hendaklah berumur 18 tahun ke atas, warga Negara Malaysia dan menetap di Malaysia, lelaki atau perempuan, tidak mengira kaum, agama dan bangsa. Bilangan ahli tidak dihadkan.
  • Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
  • Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang dinyatakan di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan, diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.
  • Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

FASAL 6    BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

  • Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:-

Bayaran masuk RM 10 (Ringgit Malaysia: Sepuluh sahaja).

Bayaran bulanan RM 2 (Ringgit Malaysia: Dua sahaja).          

  • Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 7 hari dari awal tiap-tiap bulan.
  • Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh Setiausaha atau wakilnya, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
  • Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
  • Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
  • Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

FASAL 7    PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

  • Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi Ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
  • Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantungkan keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 8    MESYUARAT AGUNG

  • Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan korum untuk mesyuarat.
  • Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
  • Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa, dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:-
  • Menerima laporan jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang lalu;
  • Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;
  • Memilih ahli-ahli jawatankuasa dan Juruaudit untuk tahun akan datang;
  • Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
  • Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan, satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.
  • Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan:-
  • Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
  • Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.
  • Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
  • Pengumuman satu notis dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.
  • Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
  • Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 9    JAWATANKUASA

  • Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

Seorang Presiden

Seorang Naib Presiden

Seorang Setiausaha

Seorang Penolong Setiausaha

Seorang Bendahari

2 Orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

  • Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.
  • Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
  • Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
  • Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
  • Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha hendaklah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
  • Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;
  • Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
  • Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

  • Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
  • Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
  • Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika
difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas
kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

(11) Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua
dokumen Pertubuhan seperti sijil pendaftaran, undang-
undang berdaftar, salinan-salinan penyata tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku, akaun, buku bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai aset-aset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru. Walau bagaimanapun, jika terdapat kehilangan, kerosakan dan kesilapan kepada mana-mana dokumen atau harta yang didapati semasa Jawatankuasa lama memegang jawatan maka ianya masih di bawah tanggungjawab Jawatankuasa yang lama.

 

FASAL 10  KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

  • Presiden, dalam masa menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.
  • Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.
  • Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.
  • Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.
  • Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.
  • Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

FASAL 11  KEWANGAN

  • Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini, wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan, dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah mengaudit akaun. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
  • Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM200 (Ringgit Malaysia: Dua ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.
  • Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden, Setiausaha, dan Bendahari. Semasa ketiadaan Presiden, Setiausaha, atau Bendahari, maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.
  • Perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM50,000 (Ringgit Malaysia: Lima Puluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM10, 000 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha dan Bendahari.
  • Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta penyata akaun bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diaudit oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata akaun yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.
  • Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir pada 31hb. Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 12  JURUAUDIT

  • Dua orang ahli biasa yang bukannya Pegawai Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
  • Juruaudit adalah dikehendaki mengaudit akaun Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit akaun Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 13  PENTADBIR HARTA

  • Semua harta tetap Persatuan hendaklah dinamakan atas nama Persatuan. Pemegang jawatan semasa dalam Jawatankuasa iaitu Presiden, Setiausaha dan Bendahari hendaklah dilantik menjadi Pegawai Pentadbir Harta mengikut Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966 dimana sijil pengesahan akan dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Mereka akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Pentadbir Harta selagi mereka memegang jawatan berkenaan di dalam Persatuan.
  • Pegawai Pentadbir Harta tidak boleh menjual, memajak atau menukar milik harta tetap kepunyaan Persatuan dengan tidak atau persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.
  • Sekiranya seseorang Pegawai Pentadbir Harta itu tidak lagi memegang jawatan dalam Persatuan maka kuasanya dengan sendiri terlucut.

FASAL 14  TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

  • Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
  • Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 15  PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis.

FASAL 16  LARANGAN

  • Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Jadual 1 dan 2, Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 tidak boleh dimainkan di premis pertubuhan.

 

FASAL 17  PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 18  PEMBUBARAN

  • Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.
  • Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.
  • Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

 

 

[TAMAT] 

 

————————————————————————————————————————————————————————————

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s